Cadangan wujudkan kaunter bantuan di hospital untuk warga emas

GEORGE TOWN: Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mencadangkan supaya kaunter Meja Bantuan diwujudkan di pintu masuk setiap hospital dan klinik kerajaan bagi membantu pesakit warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam mengakses kemudahan hospital.

Presidennya Datuk P. Murugiah berkata kaunter itu perlu dikendalikan petugas terlatih atau “pemandu arah pesakit” yang dapat membimbing pesakit ke bilik rawatan mereka seperti bilik rundingan, jabatan X-ray dan farmasi.

“Pendekatan mudah ini mampu mengurangkan kekeliruan dan tekanan dalam kalangan warga emas, yang kebanyakannya sudah berdepan cabaran fizikal dan kognitif. Ia juga mampu memendekkan masa menunggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada warga emas mengenai kesulitan dihadapi mereka ketika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, termasuk kekurangan petunjuk arah yang jelas atau bantuan di lokasi berkenaan.

Murugiah menegaskan situasi itu menyebabkan golongan tersebut seringkali tiada pilihan selain meminta bantuan daripada pesakit lain, yang sepatutnya tidak berlaku dalam persekitaran penjagaan kesihatan profesional.

Bagaimanapun, beliau memuji Kementerian Kesihatan (KKM), pentadbir hospital serta petugas perubatan dan bukan perubatan atas komitmen berterusan mereka dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada orang ramai.

Murugiah turut menyatakan populasi warga emas di negara ini semakin meningkat dan membentuk sebahagian besar daripada mereka yang mendapatkan rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan kerajaan.

Beliau turut memuji usaha terkini untuk melengkapkan hospital kerajaan dengan teknologi perubatan moden, sambil menegaskan bahawa khidmat pelanggan tidak boleh diabaikan.

“PHA berharap agar KKM mempertimbangkan cadangan berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk meningkatkan penjagaan warga emas di institusi kesihatan awam di seluruh negara,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *