KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 10 rakyat Malaysia kini lebih peka terhadap amaran penipuan, dengan tahap kepuasan meningkat kepada 73 peratus, menurut tinjauan terbaharu oleh Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Kenyataan bersama kedua-dua persatuan itu menyatakan, peningkatan kesedaran ini didorong oleh kempen kebangsaan #JanganKenaScam. Tinjauan ini dijalankan oleh Rakuten Insight antara Mac dan April 2025, melibatkan 1,000 responden di seluruh negara.
Antara dapatan utama tinjauan tersebut:
92 peratus pengguna sedar risiko memasang fail APK tidak diminta.
85 peratus boleh mengenal pasti SMS palsu.
79 peratus mengelak pautan mencurigakan.
82 peratus akan hubungi bank jika akaun terjejas.
77 peratus akan membekukan kad melalui perbankan mudah alih.
Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kempen ini berjaya meningkatkan kesedaran tetapi menekankan bahawa penipu masih mengeksploitasi ketakutan mangsa. “71 peratus responden takut kehilangan wang jika tidak ikut arahan penipu,“ katanya.
Keyakinan terhadap langkah keselamatan bank juga meningkat, dengan 76 peratus responden berpuas hati, naik 13 peratus berbanding tinjauan sebelumnya. Selain itu, tiga daripada lima responden mendapati bank sangat membantu selepas kejadian penipuan.
Media sosial, terutama Facebook dan Instagram, kekal sebagai sumber utama maklumat penipuan. Tujuh daripada 10 rakyat Malaysia aktif berkongsi amaran penipuan dalam rangkaian mereka, terutamanya melalui WhatsApp.
Presiden AIBIM, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, menegaskan bahawa walaupun usaha kesedaran berjaya, masyarakat tidak boleh leka. “Penipu sentiasa ubah taktik, jadi kita perlu lebih waspada,“ katanya. – Bernama