KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM104,844 selepas menjadi mangsa skim pelaburan mata wang asing (forex) yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, berkata mangsa berusia 77 tahun itu menyertai pelaburan tersebut pada 28 Mei lepas selepas dipujuk oleh kakak kepada seorang kenalan wanita yang dikenali melalui Facebook.
“Mangsa membuat pembayaran awal sebanyak RM3,000 dan diberikan resit palsu sebagai bukti wang itu dimasukkan ke dalam akaun forex miliknya. Suspek juga menghantar tangkapan layar WhatsApp yang menunjukkan keuntungan besar,“ kata Azli.
Teruja dengan keuntungan yang ditunjukkan, mangsa kemudian menambah pelaburan sebanyak RM69,000. Namun, apabila cuba mengeluarkan keuntungan, mangsa diminta membayar RM35,844 lagi atas alasan wang tersebut mengandungi unsur pengubahan wang haram.
Mangsa akhirnya sedar ditipu dan membuat laporan polis. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama