CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memulakan siasatan susulan aduan orang ramai mengenai penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa pihaknya memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan serta menimbulkan keresahan orang ramai.
“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,“ menurut kenyataan itu.
Siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
MCMC turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,“ menurut MCMC. – Bernama