Tesla tawarkan Elon Musk pakej pampasan baharu bernilai US$29 bilion

SAN JOSE: Tesla menawarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, satu pakej pampasan baharu bernilai kira-kira US$29 bilion. Tawaran ini dibuat selepas pakej sebelumnya pada 2018 dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam satu hantaran di platform X, dua ahli jawatankuasa khas lembaga pengarah Tesla, Robyn Denholm dan Kathleen Wilson-Thompson, menyatakan Musk akan menerima 96 juta saham syarikat. Saham ini akan menjadi milik penuhnya selepas beliau berkhidmat selama dua tahun dalam peranan kepimpinan.

Harga saham yang ditawarkan ialah US$23.34 sesaham, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran semasa yang melebihi US$300 sesaham. Pakej ini merupakan sebahagian daripada usaha Tesla untuk mengekalkan Musk sebagai pemimpin utama syarikat.

Pakej 2018 sebelum ini, yang melibatkan lebih 300 juta saham, dibatalkan oleh hakim di Delaware kerana proses kelulusan dianggap tidak sah. Hakim berpendapat Musk mempunyai pengaruh terlalu besar dalam rundingan dengan lembaga pengarah, dan maklumat penting tidak didedahkan kepada pemegang saham.

Walaupun pemegang saham Tesla meluluskan semula pakej itu dalam mesyuarat agung pada Jun 2024, hakim mengekalkan keputusan asal untuk membatalkannya. Tesla kini dalam proses merayu keputusan tersebut. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *