KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada terhadap kegiatan sindiket penipuan yang menyalahgunakan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata sindiket ini dipercayai akan aktif kembali untuk menipu mangsa dengan mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan atas alasan pengesahan bantuan.
“Lazimnya, sindiket ini menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dan menghubungi mangsa melalui SMS, WhatsApp atau panggilan telefon. Mereka menghantar mesej palsu atau pautan phishing yang kelihatan rasmi,“ katanya.
Beliau menegaskan bahawa penjenayah akan mengakses akaun mangsa dan memindahkan wang sebaik sahaja memperoleh maklumat seperti nombor akaun bank, kad pengenalan atau kod OTP.
Walaupun tiada laporan diterima setakat ini, polis memandang serius potensi eksploitasi terhadap golongan yang memerlukan bantuan.
Rusdi menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan, mesej atau pautan yang mendakwa daripada agensi kerajaan.
“Jangan sekali-kali menekan pautan mencurigakan atau mengisi maklumat peribadi di laman web tidak disahkan. Semua urusan bantuan perlu dirujuk melalui saluran rasmi seperti laman sesawang kementerian atau agensi berkaitan,“ tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menyemak syarat permohonan dan kelayakan bantuan sebelum mengambil tindakan.
“Kesilapan kecil seperti berkongsi OTP boleh menyebabkan kerugian besar. Dapatkan maklumat sahih melalui portal rasmi kerajaan atau media arus perdana,“ katanya.
Program SARA diumumkan pada 23 Julai lalu, membabitkan peruntukan RM2 bilion untuk 22 juta rakyat. Bantuan tunai RM100 boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 – Bernama