KOTA KINABALU: Sebanyak 60,764 pekerja di Sabah telah menjadi ahli kesatuan sekerja berdaftar di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 22,317 pekerja merupakan kakitangan sektor kerajaan, sektor swasta (35,194) manakala 3,253 pula badan berkanun.
Hajiji berkata terdapat 92 kesatuan sekerja berdaftar di negeri ini yang dikawal selia Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sabah, merangkumi 23 kesatuan sektor kerajaan, 52 kesatuan sektor swasta dan 16 kesatuan badan berkanun.
“Sabah mencatatkan tenaga buruh melebihi 1.7 juta orang pada tahun lepas dan sumbangan kolektif daripada tenaga kerja ini telah memacu peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak RM84.3 bilion.
“Ia telah menyumbang kepada peratusan kenaikan KDNK terutamanya dalam sektor kritikal seperti pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan,“ katanya ketika berucap pada perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja peringkat Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Mohd Asri Abdul Wahab.
Hajiji berkata seiring dengan era globalisasi dan revolusi teknologi yang kian pesat, beliau menyeru kesatuan sekerja di negeri untuk lebih proaktif dalam menjaga kebajikan ahli mereka menerusi inisiatif dan program yang disediakan sama ada di peringkat pusat atau negeri.
“Peranan kesatuan sekerja amat penting sebagai benteng utama menjaga keadilan sosial dan memastikan setiap pekerja mendapat hak sewajarnya bukan sahaja gaji adil, tetapi peluang kemahiran, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, jaminan sosial dan suasana kerja yang sejahtera dan kondusif,“ katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Sabah mengalu-alukan kesatuan sekerja sebagai rakan strategiknya dan komited dalam memperkasakan tenaga kerja, menyokong gerakan kesatuan sekerja serta memastikan kebajikan mereka terpelihara.
“Saya percaya Sabah mampu menjadi negeri contoh di Malaysia dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja menjana ekonomi kukuh, tetapi juga secara konsisten menegakkan hak pekerja,“ katanya – BERNAMA