SHAH ALAM: Isu bantuan kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya termasuk lanjutan pembiayaan sewa rumah akan dibincang dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Jumaat ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri juga akan meneliti kembali kemajuan kerja pembinaan semula dan baik pulih rumah mangsa supaya gerak kerja terus berjalan lancar.
“Sebagaimana saya maklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini, proses itu akan siap Oktober. Memang ia akan ambil sedikit masa sebab bergantung kepada tahap kerosakan tapi kalau kerja (pembinaan) perlahan, kita semak balik.
“Dewan (Persidangan DUN Selangor) tempoh hari juga saya maklumkan kerja-kerja itu pada tahap 22 hingga 24 peratus berjalan, dijalankan Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB), manakala di Kampung Kuala Sungai Baharu kerja pembinaan adalah lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Dewan Jubli Perak di sini hari ini
Dalam pada itu, Amirudin turut menafikan terdapat perbezaan bantuan diterima antara mangsa di Kampung Kuala Sungai Baharu dan Taman Putra Heights, sebaliknya memaklumkan ia berdasarkan kadar kerosakan mengikut siling yang ditetapkan.
“Rumah (mangsa) di Putra Heights ada rosak keseluruhan. Kita ada beberapa kategori, rumah yang total lost (rosak sepenuhnya) hingga RM300,000, kerosakan kecil hingga RM60,000. Antara kedua-duanya itu pula ada proses-proses tertentu, tidak ada bezanya,” katanya – BERNAMA