PORT DICKSON: Polis telah mengenal pasti seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin, berkata suspek akan dipanggil untuk membantu siasatan. Bendera tersebut telah diturunkan semula pada hari kejadian.
“Siasatan masih berjalan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes ini disiasat di bawah beberapa akta termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan isu ini secara meluas bagi mengelak gangguan keharmonian awam.
Sebelum ini, SJKC Chung Hua Port Dickson telah memohon maaf secara terbuka berikutan insiden tersebut. Pihak sekolah menyifatkan kejadian itu sebagai kecuaian tidak disengajakan – Bernama