168 kes disiplin guru direkodkan di Negeri Sembilan – Exco

SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan merekodkan 168 kes isu disiplin melibatkan pegawai perkhidmatan pendidikan atau guru bagi tempoh 2021 hingga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Ismail Lasim, berkata Seremban merekodkan jumlah tertinggi iaitu 89 kes, diikuti Jempol/Jelebu (36), Tampin (13), Port Dickson dan Kuala Pilah masing-masing 11 kes, serta Rembau (lapan).

“Antara kesalahan berkenaan tidak hadir bertugas, pemalsuan dokumen, penyelewengan kewangan, penyataan awam, ingkar perintah, jenayah, penglibatan dalam politik, mencederakan murid dan gangguan seksual,“ katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Tindakan susulan terhadap guru terlibat diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ismail menjelaskan bahawa bagi kesalahan berat, tindakan pemberhentian boleh dilaksanakan.

Beliau menjawab soalan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin mengetahui senarai isu disiplin guru di Negeri Sembilan sejak 2021.

Dalam perkembangan lain, DUN Negeri Sembilan memilih ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.

Mohd Asna, 46, merupakan Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban.

Persidangan DUN akan bersambung esok. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *