KUALA LUMPUR: Malaysia tidak memberikan hak eksklusif kepada Amerika Syarikat (AS) dalam eksport unsur nadir bumi atau mineral kritikal, meskipun tidak mengenakan sekatan ke atas bekalan tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menjelaskan bahawa komitmen ini dibuat kerana Malaysia tidak pernah mengenakan sekatan eksport unsur nadir bumi kepada mana-mana negara.
“Langkah ini merupakan persetujuan di bawah Seksyen 5 – Keselamatan Ekonomi dan Negara dalam rundingan antara Malaysia dan AS,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa isu sekatan eksport dan transit cip kecerdasan buatan (AI) dari AS ke negara tertentu turut dibincangkan di bawah seksyen yang sama.
“Malaysia bersetuju memperkukuh kawalan dengan menguatkuasakan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 berkuat kuasa pada 14 Julai 2025,“ jelasnya.
Dalam rundingan tarif, Malaysia pada mulanya hanya menumpukan kepada senarai permintaan spesifik AS, tetapi kemudian diperluas untuk merangkumi lebih banyak barangan import dari AS.
“Hasilnya, Malaysia menawarkan penurunan atau penghapusan tarif bagi 98.4 peratus daripada jumlah baris tarif,“ kata Tengku Zafrul.
Mengenai cukai jualan, Malaysia bersetuju memberikan pengecualian cukai yang mendiskriminasikan produk pertanian import dari AS seperti buah-buahan dan makanan laut.
“Namun, Malaysia tetap tidak menawarkan penghapusan atau pengecualian duti eksais,“ tegasnya.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia tidak melonggarkan syarat yang boleh menjejaskan industri tempatan, termasuk tidak memberikan pengecualian lesen import secara menyeluruh untuk produk dari AS.
“Tiada liberalisasi penuh bagi syarat ekuiti asing dalam sektor strategik, dan syarat ekuiti bumiputera dikekalkan,“ katanya.
Di bawah Seksyen 3 – Perdagangan Digital dan Teknologi, Malaysia bersetuju tidak mengenakan cukai perkhidmatan digital (DST) yang diskriminasi terhadap syarikat AS.
“Malaysia melaksanakan dasar DST secara adil tanpa diskriminasi,“ ujarnya.
Kerajaan juga memansuhkan syarat sumbangan 6 peratus pendapatan platform media sosial AS kepada Tabung Universal Service Provision (USP) sebagai syarat operasi di Malaysia.
Selain itu, arahan pengalihan trafik Sistem Nama Domain (DNS) kepada perkhidmatan tempatan turut dimansuhkan secara kekal.
AS juga menekankan kawalan ketat terhadap aktiviti eksport, termasuk penghantaran semula, bagi mengelak pengelakan cukai melalui deklarasi tempasal palsu.
“MITI kini satu-satunya pihak berkuasa mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) untuk eksport ke AS berkuat kuasa 6 Mei 2025,“ kata Tengku Zafrul. – Bernama