Lima warga Iran disyaki pukau, curi wang pelancong di Pulau Pinang

KEPALA BATAS: Lima warga Iran ditahan polis pada Sabtu lalu disyaki terlibat dalam kes curi wang pelancong asing di sekitar George Town, Pulau Pinang.

Mereka dipercayai anggota sindiket yang memiliki kepakaran dalam jenayah tersebut.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sindiket ini dipercayai bergerak secara berkumpulan dan memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.

“Polis sedang menyemak pergerakan keluar masuk serta ketulenan pasport mereka dengan Jabatan Imigresen,“ katanya.

Menurutnya, suspek tiba di Kuala Lumpur sebelum ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta sewa pada 27 Julai lalu dan menginap di sebuah inap desa di Batu Feringghi.

“Kami percaya mereka aktif melakukan jenayah sejak tiba di negeri ini, tetapi tiada laporan diterima mungkin kerana kerugian kecil,“ tambahnya.

Tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri berusia 19 hingga 35 tahun ditahan di sebuah pusat beli-belah di George Town melalui Ops Tourist.

Polis turut merampas pelbagai mata wang asing, dua kenderaan, dan sepeket dadah jenis ganja.

Tiga laporan curi wang tunai pelancong asing dari Taiwan, Belanda, dan Syria telah diterima polis antara 30 Julai hingga 1 Ogos di Pulau Tikus dan Jalan Penang. Kerugian dianggarkan RM3,000 setakat ini.

“Kesemua suspek direman hingga 6 Ogos untuk siasatan di bawah Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan serta Akta Dadah Berbahaya 1952,“ jelas Mohd Alwi.

Beliau juga menyeru mangsa tampil membuat laporan bagi memudahkan siasatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *