RUU Koperasi baharu dibentang Disember 2025, gantikan Akta 1993

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi baharu kini berada di peringkat akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata RUU tersebut akan menggantikan Akta Koperasi 1993 bagi memenuhi keperluan semasa dan menyokong aspirasi pembangunan koperasi negara.

Ewon menjelaskan bahawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menjalankan 23 sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

Antara yang terlibat termasuk agensi kerajaan, koperasi premier, federasi, ANGKASA, universiti tempatan, serta wakil pentadbiran negeri seperti Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, dan Sarawak.

“KUSKOP menyasarkan pewartaan Akta Koperasi baharu pada Jun 2026 dan dikuatkuasakan November atau Disember tahun yang sama,“ katanya semasa berucap di Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025.

Beliau turut menekankan kepentingan sektor koperasi dalam perancangan kewangan negara, termasuk Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

“Adalah penting gerakan koperasi menyuarakan input dan cadangan bajet daripada perspektif koperasi,“ ujarnya.

Mengenai Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25), Ewon berkata program tersebut berjaya menarik lebih 58,000 pengunjung di Melaka, melebihi sasaran 50,000 orang.

Jumlah jualan koperasi dan usahawan hampir RM1.1 juta, dengan potensi jualan dianggarkan RM22 juta.

MPKK kali ini turut membentangkan satu kertas perbincangan dan dua kertas makluman.

Ewon menggesa semua anggota aktif menyampaikan pandangan serta mengemukakan isu-isu koperasi yang memerlukan tindakan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *