Pejabat Sultan Perak lapor polis atas video palsu istiadat perkahwinan diraja

IPOH: Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis berikutan video tular di TikTok yang mengandungi maklumat palsu mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Video tersebut mendakwa majlis tersebut akan berlangsung pada 7 Ogos ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, dalam kenyataan memaklumkan laporan polis telah dibuat pada 31 Julai lalu.

Beliau menegaskan tiada sebarang Majlis Persandingan Diraja diadakan di Istana Iskandariah pada tarikh berkenaan, dan tiada liputan langsung Majlis Akad Nikah untuk tontonan umum seperti didakwa dalam video.

“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali dan tidak ada sebarang hubungan dengan pemilik akaun TikTok tersebut. Kami juga tidak melantik mana-mana pihak sebagai jurucakap Istana Perak bagi majlis-majlis rasmi,“ jelasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu bagi mengelak kekeliruan dan melindungi nama baik Istana Perak.

Video berdurasi 58 saat itu mendakwa Majlis Persandingan Diraja akan berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos di Istana Iskandariah dan akan disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen televisyen tempatan.

Video tersebut juga menyatakan pasangan diraja akan ke Tamparuli, Sabah selama seminggu bagi urusan perkahwinan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *