KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir perlu dilakukan secara telus dan menyeluruh. Beliau menggesa semua pihak mengelak spekulasi tidak berasas bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Anwar berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memastikan siasatan dijalankan secepat mungkin.
“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat tuduhan tanpa bukti, sambil menegaskan Malaysia sebagai negara berlandaskan undang-undang.
“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” tegasnya.
Zara Qairina, 13, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai. Pelajar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu sehari kemudian.
Kes kematiannya tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Semalam, Mohd Khalid memaklumkan kertas siasatan kes tersebut telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. – Bernama