KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memulih dan memartabatkan semula institusi pondok negara agar kekal menjadi benteng pertahankan akidah, akhlak, dan sahsiah umat Islam selari dengan tuntutan semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan sekolah agama dan pondok yang masih daif dapat dibangunkan dengan kemudahan serta teknologi baharu.
“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Anwar menekankan bahawa sejarah membuktikan institusi pondok kekal sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri umat Islam walaupun sistem politik, ekonomi, dan pendidikan negara pernah tunduk kepada penjajah. Beliau juga mengumumkan pelancaran Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini bagi memperluas penyebaran al-Quran ke serata dunia melalui terjemahan rasmi dalam 30 bahasa.
“Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi. Ini pendekatan yang baik,” jelasnya.
MTHQA ke-65 berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’ dan dihadiri 71 peserta dari 49 negara. Malaysia diwakili empat peserta dalam kategori Tilawah dan Hafazan. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan barang kemas tajaan YaPEIM. – fotoBERNAMA