Polis tahan lapan lelaki curi lembu di Dungun

DUNGUN: Polis menahan lapan lelaki susulan kes curi lembu di Ladang Pinang, Bukit Besi. Operasi dilakukan kira-kira pukul 2.30 pagi selepas menerima aduan daripada penternak tempatan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Maizura Abdul Kadir, berkata suspek berumur antara 17 hingga 73 tahun itu ditahan bersama rampasan termasuk 18 keratan anggota lembu, dua kenderaan, senjata api, peluru hidup, dan alat pemotong daging.

“Polis bertindak pantas selepas menerima laporan kehilangan lembu. Operasi dijalankan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun,“ katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Dungun.

Tujuh suspek direman selama empat hari manakala seorang remaja direman dua hari. Kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960, Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Maizura menasihati penternak meningkatkan langkah keselamatan seperti memasang CCTV dan pencahayaan mencukupi bagi mengelak kecurian. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *