60,000 permohonan belajar di kolej vokasional seluruh negara

TAIPING: Kira-kira 60,000 permohonan diterima untuk menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Vokasional di seluruh negara, hingga kini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah permohonan itu membuktikan respons yang begitu baik oleh generasi muda terhadap pembangunan pendidikan TVET.

“Ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai 86 Kolej Vokasional di seluruh negara dengan 17,000 kapasiti. Pelbagai pelan TVET juga telah dirancang untuk kita memperkasakan Kolej Vokasional dan memperbaiki kemahiran praktikal dari semasa ke semasa. Latihan industri itu juga akan diperluaskan kepada lepasan TVET,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Udara Taiping 2025 di Lapangan Terbang Tekah di sini hari ini.

Wong yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata kebolehpasaran graduan TVET telah mencapai 99 peratus berdasarkan laporan yang diterima beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata pencapaian itu amat baik kerana generasi muda yang keluar dari pendidikan vokasional berpeluang melanjutkan pelajaran atau memperoleh pekerjaan yang stabil berdasarkan kemahiran yang dimiliki mereka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *