Proses penyerahan tentera Kemboja ditahan Thailand hampir selesai

KUALA LUMPUR: Proses penyerahan 20 anggota tentera Kemboja yang ditahan tentera Thailand susulan konflik bersenjata di sempadan kedua-dua negara dijangka selesai dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang mengetuai pasukan pemantau gencatan senjata, berkata penyerahan itu adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk memastikan gencatan senjata berjalan lancar.

“Bantuan yang dimohon Kemboja adalah sebahagian daripada penugasan kami sebagai pasukan pemantau untuk memastikan gencatan senjata berlaku. Permintaan tersebut juga telah saya majukan kepada pihak Thailand sebagai satu tindakan muhibah ke arah memupuk keamanan.

“Pihak Thailand juga telah memberikan kerjasama yang baik dan insha-Allah akan berjaya dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa semua anggota tentera Kemboja yang ditahan telah dilayan dengan baik oleh pihak Thailand.

Sebelum ini, Kemboja meminta bantuan Malaysia sebagai penyelaras gencatan senjata untuk membebaskan anggotanya yang ditahan. Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja Jeneral Vong Pisen telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysia bagi tujuan tersebut.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Leftenan Jeneral Maly Socheata turut melaporkan bahawa tentera Thailand telah menyerahkan mayat seorang anggota tentera Kemboja, manakala 20 lagi masih dalam tahanan.

Konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand berakhir pada tengah malam 28 Julai lepas selepas persetujuan gencatan senjata dicapai dalam mesyuarat khas di Putrajaya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *