RMK13 tingkat jaringan jalan raya sempadan Borneo Malaysia-Indonesia

KUCHING: Perancangan menaik taraf jaringan jalan raya di sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat sebagai langkah memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Indonesia di Borneo.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyatakan sokongan terhadap projek tersebut, yang merupakan kesinambungan usaha kerajaan negeri dan Persekutuan. “Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah umumkan beberapa projek termasuk Lebuh Raya Sarawak-Sabah (SSLR 1 dan SSLR 2),“ katanya.

Beliau menambah bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bersedia melaksanakan projek yang bakal diluluskan kerajaan Persekutuan. “Projek ini pernah diumumkan dengan peruntukan RM1 bilion, dan kini dalam peringkat perancangan terperinci,“ jelasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan projek infrastruktur ini dalam RMK13 bagi memperkukuh keterhubungan rentas sempadan.

Selain itu, Uggah turut memaklumkan bahawa kualiti udara di Sarawak berada pada tahap baik dan sederhana. Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak telah membatalkan permit kebakaran terbuka sebagai langkah pencegahan jerebu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *