Kerajaan tubuh Suruhanjaya Halal tunggal dalam RMK13

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Halal sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab dalam tadbir urus dan pembangunan industri halal negara.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Suruhanjaya tersebut akan berperanan sebagai pusat rujukan dan hab standard industri halal global.

Ia juga akan menyelaras keperluan industri, memudah cara pelaburan, serta memperkukuh daya saing Malaysia sebagai peneraju halal dunia.

Menurut dokumen RMK13, langkah ini bertujuan meningkatkan produktiviti dan melonjakkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sasaran eksport halal ditetapkan pada RM80 bilion dengan sumbangan 11% kepada KDNK menjelang akhir pelaksanaan RMK13.

“Program peluasan pasaran produk dan perkhidmatan halal antarabangsa akan dimantapkan bagi menyokong penskalaan PKS tempatan,“ menurut kenyataan rasmi.

Taman perindustrian halal juga akan diperkasa untuk memacu pembangunan industri bernilai tinggi.

Sebagai pelengkap, kerajaan akan menggubal perundangan khusus bagi menyeragamkan garis panduan, prosedur pensijilan, dan penguatkuasaan logo halal di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Ini kritikal untuk menyelesaikan isu fragmentasi dan menyelaras peranan 198 agensi terlibat,“ jelas dokumen tersebut.

Pada 2024, industri halal menyumbang 7.7% KDNK (RM149 bilion) dengan eksport mencecah RM61.8 bilion berbanding RM36.6 bilion pada 2021. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *