KKM fokus pendidikan penguatkuasaan perintah pemaparan harga ubat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited dalam melaksanakan pendekatan pendidikan berhubung Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025, walaupun terdapat permohonan untuk semakan kehakiman terhadap peraturan tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memberi penerangan dan pencerahan kepada pihak terlibat. “Kita akan teruskan penguatkuasaan pendidikan supaya tiada lompong sehingga keputusan mahkamah dibuat,“ katanya selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025.

Perintah tersebut, yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu, mewajibkan klinik dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat secara jelas. Namun, tiada denda dikenakan dalam tempoh tiga bulan pertama bagi memberi ruang kepada pemahaman dan pelaksanaan yang betul.

Lapan pertubuhan perubatan, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap peraturan ini. Mereka berpendapat bahawa peraturan tersebut membebankan pengamal perubatan swasta.

Dzulkefly menekankan bahawa KKM menghormati proses undang-undang sambil memastikan matlamat utama iaitu ketelusan harga ubat tercapai. “Pendidikan adalah kunci sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan,“ tambahnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *