Pelajar 14 tahun ditahan kerana tumbuk dan ugut guru di Kajang

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas dipercayai menumbuk dan mengugut gurunya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku selepas pelajar itu tidak berpuas hati apabila ditegur oleh guru lelakinya yang berusia 29 tahun kerana tidak menghadiri kelas Pendidikan Jasmani.

“Susulan teguran itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum pelajar terbabit bertindak menumbuk muka guru berkenaan serta mengeluarkan ugutan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain. Guru berkenaan kemudian membuat laporan polis sekitar 7.15 malam semalam, dan suspek ditahan tidak lama kemudian di sekitar Kajang.

Pelajar itu direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang esok di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, video kejadian tersebut telah tular di media sosial, menunjukkan pelajar terbabit menumbuk gurunya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *