Pulau Pinang rancang projek solar terapung di empangan

GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedang mengkaji lokasi sesuai untuk membangunkan projek solar terapung sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran 10 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata empangan seperti Teluk Bahang dan Mengkuang antara lokasi berpotensi kerana faktor keluasan dan kestabilan air.

“Empangan paling sesuai untuk projek solar terapung berbanding laut kerana cabaran pemasangan berbeza. Namun, ia perlu kajian teliti memandangkan empangan juga sumber air minuman,“ katanya selepas menghadiri Malaysian Photovoltaic Sustainable Energy Association (MPSEA) Solar Roadshow 2025.

Beliau menekankan kepentingan projek ini di Pulau Silikon, yang sedang dibangunkan sebagai hab teknologi hijau. “Kilang akan beroperasi dalam tempoh dua tahun, jadi tenaga solar diperlukan sebagai alternatif,“ jelasnya.

Kerajaan negeri turut komitmen mempromosikan kecekapan tenaga melalui Kerangka Tenaga Pulau Pinang 2024, dengan sasaran 25 peratus peningkatan kecekapan tenaga menjelang 2030. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *