SINGAPURA: Seorang pemandu wanita dikejarkan ke hospital selepas keretanya terjatuh ke dalam sebuah lubang benam di Jalan Tanjong Katong, Singapura pada Sabtu.
Agensi air negara Singapura, PUB, dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa wanita itu berjaya diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan berada dalam keadaan sedar pada masa itu.
Sebuah klip video yang tular di media sosial menunjukkan kereta berkenaan hampir tenggelam sepenuhnya dalam lubang benam yang dipenuhi air.
PUB berkata kejadian berlaku sekitar 5 petang berhampiran tapak kerja milik agensi itu dan melibatkan dua lorong jalan.
“Pihak Polis, SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kini berada di lokasi bagi mengawal keadaan,” menurut kenyataan itu.
PUB turut memaklumkan bahawa dua paip utama air rosak dalam kejadian terbabit dan usaha sedang dijalankan untuk mengasingkan saluran paip yang terjejas.
Sementara itu, LTA dalam kenyataan berasingan memaklumkan semua laluan dari kedua-dua arah telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan siasatan sedang dijalankan.
“Kontraktor kami berada di lokasi untuk membantu kerja-kerja pembaikan jalan,” kata LTA sambil menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif buat masa ini – BERNAMA