PARIT: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sisa elektronik (e-sisa) bernilai RM31,337,000 dalam operasi serbuan ke atas sebuah kilang haram di kawasan ladang kelapa sawit di Parit.
Serbuan itu dilaksanakan semalam dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata, antara barangan yang dirampas termasuk 81 bongkah e-sisa seberat 105,300 kilogram (kg), 5,000kg arang batu, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori treler, dan sebuah bangunan pemprosesan berkeluasan 8,400 kaki persegi.
“Kilang haram ini disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram menggunakan peralatan khas tanpa kelulusan pihak berkuasa. Operasi ini turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 70 tahun bagi membantu siasatan,” jelas Shahrum dalam satu kenyataan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 18, 19, 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946, serta Seksyen 127 Kanun Tanah Negara. Shahrum menegaskan bahawa PGA akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap aktiviti haram seperti ini, terutamanya di Perak.
“Kami menggesa masyarakat supaya menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang aktiviti haram kepada pihak berkuasa,” tambahnya. – Bernama