MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya berikutan laporan palsu mengenai kehilangannya di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong.
Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar semalam atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
“JBPM menganggap tindakan membuat laporan palsu berkaitan kehilangan atau kemalangan sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Ia membazirkan masa dan tenaga pasukan penyelamat serta mengganggu operasi kecemasan lain,“ katanya.
Operasi mencari dan menyelamat selama empat hari melibatkan lebih 30 anggota bomba dari Muar, Labis, dan Pagoh. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit dron turut digerakkan sebelum disedari mangsa sebenarnya selamat dan tidak berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, sebelum ini mengesahkan siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sengaja mencipta kejadian palsu sebelum melarikan diri ke negara jiran, manakala adiknya dipercayai bersubahat. – Bernama