KINABATANGAN: Seorang lelaki maut selepas bot yang dinaikinya bersama tiga rakannya karam di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Temenggong semalam.
Mangsa, Adzly Kassim, 46, ditemui penduduk kampung pada jam 6.30 petang, kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan daripada polis pada 11.49 pagi mengenai kejadian tersebut.
“Tiga lelaki berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dilaporkan hilang,“ katanya.
Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 3 petang setelah menempuh perjalanan sejauh 115 kilometer dari balai bomba.
“Kami menggunakan bot penduduk kampung untuk mencari mangsa di permukaan air,“ jelas Hairi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi pencarian tamat pada jam 7 malam. – Bernama