SEMPORNA: Sembilan lelaki berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas bot yang mereka naiki mengalami kebocoran berhampiran Pulau Sebangkat.
Operasi penyelamatan bermula sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.37 pagi.
Menurut kenyataan APM Sabah, pasukan penyelamat BRAVO diketuai Asmam Turu bersama empat anggota digerakkan ke lokasi menggunakan bot A008.
“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 12.38 tengah hari, pasukan mendapati tiga mangsa masih berada di atas bot, manakala enam lagi berpaut pada badan bot di permukaan air,“ jelas kenyataan itu.
Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke bot penyelamat dan diserahkan kepada polis tanpa sebarang kecederaan. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.59 tengah hari. – Bernama