BAYAN LEPAS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung laporan yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kini berada di Shanghai, China.
Beliau berkata akan menyemak perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut.
“Saya tidak dapat maklumat, kita belum dapat apa-apa maklumat. Let me check. Saya dah baca (laporan media). Saya kena semak dengan Menteri KDN,“ katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar.
Laporan media antarabangsa sebelum ini menyatakan Jho Low, yang diburu pihak berkuasa antarabangsa kerana didakwa terlibat dalam skandal 1MDB, dipercayai menggunakan pasport Australia palsu dan kini menetap di kawasan elit Shanghai.
Dua wartawan penyiasat terkenal, Bradley Hope dan Tom Wright, yang sebelum ini mendedahkan skandal 1MDB, membuat pendedahan terbaharu dalam episod khas “Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright” pada Jumaat lalu.
Skandal 1MDB melibatkan penyelewengan dana sebanyak USD7.65 bilion (RM35 bilion) dengan Jho Low didakwa sebagai dalang utama. – Bernama