Guru maut dalam kemalangan kereta bertembung lori di Maran

KUANTAN: Seorang guru perempuan maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta Perodua Myvi dan sebuah lori di Jalan Besar Jengka 20, Maran. Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini.

Mangsa, Nurfarah Izyan Ismail, 28, yang berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Al-Basriah, Jerantut, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. Menurut Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Sungai Gau, Temerloh.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori Isuzu,“ kata Wong dalam kenyataan rasmi.

Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah pemandu lori berusia 51 tahun yang mengalami patah paha kiri, manakala dua penumpang lori berusia 25 dan 43 tahun mengalami kecederaan ringan. Seorang lagi penumpang tidak cedera.

Jenazah Nurfarah Izyan dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *