KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rundingan Perdagangan (TNC) bagi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada (ACAFTA) ke-14 dan mesyuarat berkaitan menandakan kemajuan penting ke arah perjanjian perdagangan bebas yang lebih moden, berkualiti tinggi, dan saling menguntungkan.
Mesyuarat ini dihadiri hampir 250 delegasi dari seluruh negara anggota ASEAN dan Kanada. Ia dipengerusikan bersama oleh Pengarah Rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia Dina Kurniasari dari Indonesia dan Ketua Pengarah Rundingan Perdagangan Kanada Mary-Catherine Speirs.
Hos dan sokongan utama disediakan oleh Ketua Perunding Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) Vimala Murugan.
Sebelum TNC, lapan mesyuarat berasingan telah diadakan, meliputi pelbagai aspek termasuk perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, peraturan asal, isu perundangan dan institusi, serta piawaian teknikal.
MITI dalam kenyataan di platform X hari ini menyatakan, “Perbincangan tertumpu pada pelan kerja bersepadu, sasaran dan hasil 2025, kemas kini daripada badan subsidiari, serta sokongan teknikal dan kewangan untuk rundingan berterusan.” – Bernama