SERDANG: Polis menumpaskan sindiket memproses dan menjual rokok dicampur dadah jenis methamphetamine dalam serbuan di sebuah kediaman di sini, Selasa lepas dengan rampasan dadah bernilai RM2 juta.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata dalam serbuan kira-kira 1 tengah hari itu, lelaki tempatan berusia 52 tahun dan wanita warga asing berusia 33 tahun yang juga pasangan kekasih telah ditahan.
Beliau berkata sindiket itu beroperasi menghasilkan ‘rokok syabu’ dengan menggaul tembakau bersama minyak methamphetamine dan siasatan mendapati rokok dadah berkenaan dijual pada harga RM80 sebatang kepada pengedar yang memasarkannya di sekitar Lembah Klang.
“Ini adalah kejayaan pertama menumpaskan sindiket memproses dan menjual rokok campuran dadah seperti ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.
Muhamad Farid berkata polis merampas satu kotak lutsinar berisi daun kering disyaki dicampur dengan dadah jenis methamphetamine seberat 10.07 kilogram (kg) berserta dua kotak hitam dengan setiap kotak mengandungi 120 batang ‘rokok syabu’.
Beliau berkata turut dirampas lima kotak berisi 120 batang rokok kosong setiap kotak, dua peket plastik berisi 0.61 kg syabu, sebotol kaca berisi 0.2 liter cecair putih disyaki methamphetamine, sebotol kaca berisi 0.1 liter cecair warna perang disyaki methamphetamine dan mesin elektrik pembuat rokok.
“Siasatan awal mendapati rokok campuran dadah dijual dalam bentuk sekotak mengandungi 120 batang dengan setiap batang dijual pada harga RM80, menjadikan nilai sekotak mencecah RM9,600.
“Rokok itu kemudiannya dijual semula oleh pengedar kepada pengguna pada harga lebih tinggi, dianggarkan antara RM120 hingga RM150 sebatang dan dipercayai turut digunakan di pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang,” katanya.
Muhamad Farid berkata ujian urin mendapati suspek lelaki positif dadah serta memiliki lima rekod jenayah lampau dan pasangan terbabit yang bekerja sebagai penjual batu jed disyaki mendapat bekalan daripada pembekal tempatan dengan rumah berkenaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pemprosesan dadah.
Beliau berkata pihaknya turut menyita wang tunai RM1,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama