Johor negeri pertama perluas eCOSS hingga pengguna akhir

ISKANDAR PUTERI: Johor dijangka menjadi negeri pertama meluaskan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) hingga ke peringkat pengguna akhir. Langkah ini bertujuan memastikan setiap transaksi minyak masak peket bersubsidi direkod secara digital bagi mengelak ketirisan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan secara berperingkat penting bagi memastikan sistem stabil dan diterima rakyat sebelum diperluas sepenuhnya.

“Kita perlu rintis supaya eCOSS sampai ke pengguna. Johor dipilih selepas ujian pelaksanaan melalui program Jualan Rahmah sejak beberapa bulan lalu,“ katanya selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di sini hari ini.

Armizan menegaskan peluasan eCOSS bukan untuk kurangkan subsidi, tetapi sebagai mekanisme kawalan lebih telus.

“Subsidi tetap ada, tetapi sistem ini memberi rekod jelas seperti bilangan kotak diterima peruncit, pembeli, dan jumlah jualan. Namun, kita tidak akan tergesa-gesa,“ jelasnya.

Sistem sedia ada hanya merekod pengagihan dari pembungkus semula ke peruncit. Pelaksanaan hingga peringkat pengguna dilihat kritikal kerana kementerian hanya ada sekitar 2,000 pegawai penguat kuasa untuk memantau puluhan ribu peruncit di seluruh negara.

eCOSS turut mengesahkan identiti pengguna melalui e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) menggunakan MyKad bagi pastikan hanya warganegara layak beli minyak masak bersubsidi.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan negeri Lee Ting Han.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *