SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang cuba memecah masuk sebuah rumah dengan memanjat bumbung di Jalan Kebun, Seksyen 30.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 38 tahun itu ditangkap oleh penduduk selepas kehadirannya disedari tuan rumah.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut sekitar jam 6.32 pagi.
Unit Kereta Peronda kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian untuk menangani situasi tersebut.
Suspek yang merupakan warganegara Indonesia dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu dipercayai cuba memecah masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat ke atas bumbung.
Perbuatan suspek telah disedari oleh tuan rumah setelah mendengar bunyi pergerakan di atas bumbung rumah.
Tuan rumah kemudiannya meminta bantuan penduduk lain untuk menangkap suspek yang cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.
Video kejadian tersebut turut dikongsikan di akaun Facebook ‘Jalan Kebun’ yang memaparkan seorang lelaki berada di atas bumbung sebuah rumah. – Bernama