MADRID: Mayat seorang lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia selama kira-kira 15 tahun ditemui di sebuah pangsapuri di Bandar Valencia, Sepanyol.
Penemuan mengerikan itu berlaku di kawasan kejiranan La Fuensanta apabila anggota bomba dan polis memasuki unit tingkat enam bangunan pangsapuri melalui tingkap.
Mereka memasuki pangsapuri tersebut bagi menyiasat banjir akibat hujan lebat yang dialami bangunan itu.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati lelaki itu dikenali sebagai Antonio dan dipercayai meninggal dunia pada tahun 2010.
Dia dipercayai berusia 70 atau 71 tahun pada masa kematiannya.
Mayat yang mengalami pemumiaan itu ditemui berpakaian lengkap di dalam bilik tidur pangsapuri.
Mayat tersebut dikelilingi oleh burung merpati, bangkai merpati, serangga dan longgokan sampah.
Pintu pangsapuri itu didapati dikunci dari dalam dan tiada tanda jenayah dikesan di tempat kejadian.
Polis Kebangsaan Sepanyol percaya kematian lelaki itu berlaku secara semula jadi.
Bedah siasat akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai punca kematiannya.
Jiran-jiran amat terkejut apabila menyedari mereka hidup serumah pangsapuri dengan mayat selama 15 tahun.
Mereka yang mengenali Antonio menggambarkannya sebagai seorang yang menyendiri dan tidak bersosial.
Dia dilaporkan tinggal berasingan daripada keluarganya dan jarang berinteraksi dengan masyarakat setempat.
Seorang jiran menyatakan mereka menyangka Antonio sudah tinggal di rumah jagaan orang tua.
“Kami sangka dia sudah tinggal di rumah jagaan orang tua, sebab memang tak pernah nampak dia,” kata seorang jiran.
Seorang lagi jiran mengakui mereka langsung tidak mengenali lelaki tersebut.
“Kami tak kenal dia pun di sini. Kami semua masih terkejut,” kata seorang lagi kepada akhbar.
Kematiannya tidak disedari selama ini kerana bil bulanan terus dibayar seperti biasa.
Jiran-jiran juga turut mengosongkan peti suratnya yang sentiasa penuh sepanjang tempoh itu. – Bernama-dpa