Malaysia pastikan Sidang Kemuncak ASEAN beri impak nyata

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 perlu memastikan setiap perbincangan memberikan impak nyata.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia juga perlu memperkukuh kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada seluruh negara anggota serta rakan dialog.

Beliau telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan untuk melaksanakan persiapan terbaik dengan ketelitian dan komitmen tertinggi.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam memastikan segala urusan persiapan berjalan lancar.

Perdana Menteri berkongsi beberapa keping gambar ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata lawatan berkenaan bertujuan memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap terbaik.

Persiapan merangkumi lokasi, logistik, kawalan keselamatan, perjalanan program dan penyelarasan keseluruhan penganjuran.

Beliau menyatakan Malaysia kini bersedia untuk menyambut kehadiran lebih 30,000 delegasi bermula 25 Oktober.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan.

Acara berkenaan akan menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN bersama rakan dialog dan tetamu jemputan.

Anwar menyatakan bahawa ia dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *