Laporan global dedah peningkatan kebimbangan dan tekanan seluruh dunia

BERLIN: Tahap kebimbangan, tekanan dan kemarahan meningkat di seluruh dunia dalam tempoh 10 tahun lepas menurut satu laporan antarabangsa.

Hampir empat daripada 10 orang dewasa yang disoal selidik menyatakan mereka mengalami kebimbangan tinggi atau tekanan melampau pada hari sebelumnya.

Kajian bertajuk “Keadaan Kesihatan Emosi Dunia 2025” itu dijalankan oleh Institut Gallup melibatkan responden berumur 15 tahun ke atas di 144 negara dan wilayah.

Sebanyak 39 peratus orang dewasa di seluruh dunia melaporkan mengalami kebimbangan tinggi pada tahun 2024 manakala 37 peratus melaporkan menghadapi tekanan.

Jumlah ini lebih tinggi di negara yang dilanda konflik berbanding negara yang lebih aman.

Walaupun kadar kebimbangan menurun sedikit dan kembali ke paras sebelum pandemik ia masih lima mata peratusan lebih tinggi berbanding 2014.

Kesakitan fizikal dilaporkan oleh 32 peratus responden meningkat dua mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

Kesedihan 26 peratus dan kemarahan 22 peratus pula kekal tidak berubah peratusannya namun semua nilai emosi negatif adalah lebih tinggi berbanding satu dekad lepas.

Secara global wanita melaporkan lebih banyak kesedihan kebimbangan dan kesakitan fizikal berbanding lelaki.

Kajian ini akan dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Kesihatan Sedunia di Berlin yang menghimpunkan ribuan ahli politik ahli ekonomi perniagaan dan penjawat awam.

Mereka akan membincangkan usaha meningkatkan kesejahteraan global menerusi pelbagai inisiatif kesihatan.

Walaupun peningkatan ketidakpuasan hati global sejak dekad lepas direkodkan dengan meluas banyak pemimpin masih mengabaikannya.

Pemimpin terlalu bergantung pada penunjuk ekonomi dan bukan kesihatan emosi menurut penulis laporan.

Pengabaian ini dianggap serius kerana emosi negatif mengehadkan tumpuan mengurangkan daya tahan dan boleh mendedahkan masyarakat kepada ketidakstabilan.

Perasaan positif bagaimanapun masih meluas di seluruh dunia disebalik tekanan yang semakin dirasai oleh ramai pihak. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *