PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan semua aspek berkaitan kes kematian pelajar perempuan tingkatan empat yang disyaki ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya disiasat secara tuntas, telus dan adil.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa dengan kerjasama penuh kementerian.
Beliau mengesahkan suspek telah ditahan polis sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia.
Fadhlina berharap keluarga mangsa diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.
Pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah terbabit.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail mengesahkan pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam pelajar lelaki dalam kejadian pagi tadi.
Khalid menyatakan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek berumur 14 tahun dari sekolah sama telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu. – Bernama