Dua pelajar tingkatan satu maut motosikal langgar kereta di Jertih

JERTIH: Dua pelajar lelaki tingkatan satu maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bukit Keluang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz pada 7.30 pagi.

Beliau berkata insiden dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Nissan Serena dipandu seorang pensyarah wanita dilanggar oleh motosikal Yamaha Y16ZR yang dinaiki dua pelajar SMK Permaisuri Nur Zahirah itu.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa kereta Nissan Serena keluar dari simpang untuk membelok ke kanan dan datang motosikal yang ditunggang Wan Mohamad Shahronny dari arah Bukit Keluang menghala ke sekolah,“ katanya.

“Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata mayat dua remaja itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu Allahyarham Wan Mohamad Shahronny, Nor Aziera Hashima Mohd Saleh berkata dia mengetahui kejadian itu setelah dihubungi guru sekolah anaknya pagi tadi.

“Pagi sebelum pergi sekolah saya sempat sediakan sarapan dan dia makan pagi tadi sedangkan sebelum ini dia memang jarang sarapan,“ katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Besut.

Guru di sebuah tadika swasta yang tinggal di Kampung Air Tawar itu berkata menjadi kebiasaan setiap pagi anak sulung dari dua beradik itu mengambil Nik Aqil Faizin sebelum ke sekolah.

Nor Aziera berkata meskipun kedua-dua mereka tidak belajar di kelas yang sama namun mereka agak rapat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *