KUALA LUMPUR: Peruntukan keseluruhan Tabung Kasih@HAWANA berjumlah hampir 1 juta ringgit untuk tahun ini berjaya diagihkan sekali gus hampir mencapai sasaran tahunan sebanyak 300 penerima.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata seramai 275 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat dengan jumlah sumbangan keseluruhan melebihi 830,000 ringgit tahun ini.
Beliau menyatakan sejak diperkenal pada 2023, seramai 532 pengamal media telah dibantu dengan jumlah sumbangan melebihi 1.53 juta ringgit setakat hari ini.
“Daripada keseluruhan penerima, seramai 74 adalah pengamal media Tamil dengan sumbangan melebihi 220,000 ringgit.”
“Bagi tahun 2025, setakat hari ini seramai 44 pengamal media Tamil telah menerima manfaat melibatkan sumbangan 132,000 ringgit,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Sambutan Deepavali 2025 di Wisma Bernama.
Seramai 16 pengamal media yang berdepan ujian kesihatan dan kesempitan hidup menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menjelang sambutan Deepavali.
Antara penerima ialah operator mesin Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd M. Gopal, penyusun atur huruf Malaysia Nanban Zubaidah Mohamed Sharrif, dan bekas wartawan Nambikkai Sdn Bhd Ashwini Gopal Senthamarai.
Bekas Pengarang Urusan Tamil Malar Datuk M. Periasamy yang diwakili anaknya P. Gunaseelan dan bekas wartawan Tamil Malar R. Subramaniam turut menerima sumbangan.
Penerima lain termasuk bekas jurufoto Makkal Osai P. Malayanadi, bekas juruteknik mesin Tamil Nesan P. Krishnan, dan bekas wartawan Malaysia Nanban Nagasamy Govindan.
Operator penyusun atur huruf Malaysia Nanban R. Punitha dan V. Indria Gandhi turut antara yang menerima bantuan.
Senarai penerima dilengkapkan oleh Ketua Pengarang Malaysia Nanban M. Rajintheram, Wartawan Malaysia Nanban S. S. Jeevaraja, dan Ketua Editor Tamillens Online Media V. Yettrivanan.
Kunasundary Nagarajah dari Minnal FM Radio Televisyen Malaysia, Wong Zhi Zhen dari Meja Berita Mandarin Media Prima, dan Wartawan Kanan Malaysia Gazette S.Kumara turut menerima sumbangan.
Teo berharap agar Tabung Kasih@HAWANA terus diperkasa dan peruntukannya dapat ditambah dari semasa ke semasa.
“Kepada rakan-rakan media yang memerlukan bantuan atau mengenali seseorang yang memerlukan, bolehlah membuat permohonan melalui urus setia Tabung Kasih@HAWANA atau menghubungi pejabat saya.”
“Kami bersedia membantu kerana inisiatif ini membuktikan komitmen Kementerian Komunikasi untuk menjaga kebajikan rakan-rakan media dan memastikan tiada siapa yang terpinggir,“ katanya.
Beliau berkata penganjuran julung kali itu sempena sambutan Deepavali oleh Bernama dengan kerjasama pejabat beliau wajar diteruskan.
“Tahniah kepada Bernama atas inisiatif yang amat bermakna ini… usaha seperti ini wajar diteruskan bagi menghargai jasa dan sumbangan para pengamal media yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat tanpa mengira masa dan keadaan,“ katanya. – Bernama