KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS pada hari Isnin walaupun pelabur terus menunjukkan minat terhadap mata wang Amerika Syarikat.
Perkembangan positif dalam negara selepas pembentangan Belanjawan 2026 membantu mengimbangi tekanan daripada pengukuhan dolar AS.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.2200/2260 berbanding dolar AS berbanding penutupan Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Belanjawan 2026 menunjukkan kerajaan terus mengekalkan disiplin fiskal.
“Mungkin akan terdapat sokongan untuk ringgit selepas mencatatkan pembetulan,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan ringgit akan bergerak antara RM4.20 dan RM4.21 untuk hari ini.
Defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3.5% daripada KDNK pada 2026 berbanding 3.8% tahun ini.
Pada masa sama, Indeks Dolar AS berada pada trajektori lemah di paras 98.978 mata.
Indeks Dolar AS merosot 0.58% pada Jumaat lalu selepas Presiden AS Donald Trump mengancam menaikkan tarif import.
Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100% ke atas semua eksport dari China ke AS.
Pada sesi pembukaan, ringgit didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.7756/7799 daripada 2.7618/7659 semasa ditutup Jumaat lepas.
Ringgit juga berkurangan berbanding pound kepada 5.6295/6375 daripada 5.6084/6164.
Mata wang tempatan menurun berbanding euro kepada 4.8960/9030 daripada 4.8838/8907.
Ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2524/2575 daripada 3.2494/2543.
Ringgit berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9186/9457 daripada 12.8942/9184.
Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 254.6/255.1.
Mata wang tempatan juga kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.24/7.26. – Bernama