Program Wira Anti Rasuah 2025 bentuk generasi berintegriti di sekolah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur memperkukuh usaha membudayakan integriti di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Wira Anti Rasuah 2025 di Sekolah Kebangsaan Cochrane.

Program anjuran Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertujuan menyemai nilai amanah, jujur dan tanggungjawab dalam kalangan murid sekolah rendah.

Program itu menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar SK Cochrane dan memperkenalkan dua pelajar sebagai Duta Wira Anti Rasuah pertama sekolah tersebut.

Pelantikan Abdul Aziz Khair Ammar dan Hasnanin Aish Faiha Hasmi diharap menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk mencontohi nilai integriti serta menjauhi amalan tidak beretika.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib menyeru warga pendidik dan ibu bapa agar terus memainkan peranan penting dalam membimbing generasi muda ke arah kehidupan berintegriti.

Beliau menegaskan bimbingan dan teladan yang baik akan melahirkan generasi pelapis bangsa yang memiliki jiwa bersih serta bebas daripada rasuah.

Program selama dua jam itu turut menampilkan maskot adiwira ‘Kapten MACC’ untuk mendekatkan murid dengan fungsi dan peranan SPRM.

Sesi interaktif bersama pelajar turut memberi pendedahan tentang bahaya rasuah serta tanggungjawab setiap individu dalam menolak jenayah rasuah.

Guru Besar SK Cochrane Ahmad Badri Mohamad menzahirkan penghargaan kepada SPRM Kuala Lumpur atas penganjuran program berkenaan.

Beliau menegaskan komitmen pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk terus mendukung usaha menjadikan institusi pendidikan bebas rasuah.

Program ini mencerminkan sokongan berterusan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap inisiatif pencegahan rasuah di peringkat sekolah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *