PM Anwar rasmi Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25), dialog paling penting di rantau ini mengenai masa depan tenaga ASEAN.

Pelancaran awal bagi acara yang diadakan dari 15 hingga 17 Oktober 2025 sempena kepengerusian ASEAN 2025 itu akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kepentingan global AEBF-25 diserlahkan dengan penyertaan Ketua Pengarah Bank Pembangunan Asia (ADB), Hideaki Iwasaki, yang akan membentangkan kerangka pembiayaan untuk transformasi tenaga ASEAN.

AEBF-25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mengangkat tema “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”.

Forum ini menghimpunkan kalangan Menteri Tenaga ASEAN dan ketua pegawai eksekutif global di platform unik untuk membentuk masa depan tenaga rantau ini.

“Peningkatan daripada dialog peringkat serantau kepada platform global ini memberikan isyarat jelas bahawa ASEAN tidak lagi hanya mengambil bahagian dalam peralihan tenaga,” menurut AEBF dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang 25 tahun lepas, AEBF menjadi acara tenaga utama Asia Tenggara sebagai pemangkin inovasi dasar dan janji niaga perniagaan.

Forum ini dianjurkan oleh Pusat Tenaga ASEAN (ACE) dan disokong oleh Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM).

Pengerusi AEBF-25, Andy Tirta berkata selama suku abad, forum itu telah menjadi pentas bagi pembentukan dasar tenaga serantau.

“AEBF-25 amat luar biasa kerana kita mula menyebar luas Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030,” katanya.

Beliau menekankan langkah nyata untuk mengukuhkan kesambungan tenaga serantau dengan rakan kongsi yang memacu kerjasama di seluruh ASEAN.

AEBF-25 akan menampilkan tokoh tenaga global terkemuka termasuk Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia.

Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon Garin juga akan membentangkan visi tenaga bersama Asia Tenggara dalam forum tersebut.

Tokoh utama industri yang bertanggungjawab melaksanakan visi tenaga rantau turut ditampilkan termasuk Pengerusi UEM Lestra Bhd Datuk Amran Hafiz Affifudin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hasan juga antara peserta forum.

Ketua Pegawai Strategi dan Pertumbuhan Gamuda Australia, Jarred Hardman turut hadir dalam acara berkenaan.

Forum itu akan menyaksikan pengumuman komitmen kewangan berbilion ringgit untuk infrastruktur hijau ASEAN.

Grid Tenaga ASEAN menjadi keutamaan paling penting dalam komitmen kewangan tersebut.

Inisiatif pembiayaan baharu dan kerjasama perniagaan bertujuan mempercepat transformasi tenaga lestari rantau ini juga akan dilancarkan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *