Pistol ditemui dalam beg galas hitam kes mahkamah Kuala Selangor

KUALA SELANGOR: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau dimaklumkan mengenai penemuan sepucuk pistol di dalam sebuah beg galas berwarna hitam ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing pada 29 Mac tahun lepas.

Inspektor Wan Ibrahim Rosli yang merupakan pegawai serbuan bertugas di Bahagian Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ketika kejadian berkata beliau dimaklumkan oleh ASP Khairulazizi Ismail berhubung penemuan senjata api itu selepas pemeriksaan dijalankan dalam bonet belakang kenderaan jenis Honda Jazz berwarna putih.

Wan Ibrahim yang berusia 34 tahun berkata sebelum itu beliau bersama sepasukan anggota dari Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diketuai Khairulazizi telah diarahkan untuk membuat tangkapan terhadap Abdul Azim Mohd Yasin yang merupakan suami tertuduh Sharifah Faraha Syed Husin.

Beliau berkata setelah tangkapan dilakukan mereka dipandu arah Abdul Azim bergerak ke sebuah rumah di daerah sama untuk pemeriksaan lanjut dilakukan dengan Sharifah Faraha turut mengikuti di belakang menaiki kereta Honda itu.

Wan Ibrahim menyatakan beliau bersama Abdul Azim telah masuk ke dalam rumah manakala ASP Khairul Azizi bersama Sharifah Faraha membuat pemeriksaan di luar rumah iaitu di sebuah kenderaan Honda Jazz.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin pada hari keempat perbicaraan kes Sharifah Faraha yang didakwa memiliki sepucuk pistol dipercayai dibekalkan kepada warga Israel.

Wan Ibrahim berkata pada awalnya beliau tidak terlibat dengan penemuan barang kes tersebut kerana sedang menyoal siasat suami Sharifah Faraha di dalam rumah.

Beliau menyatakan selepas penemuan barang kes iaitu pistol beliau ada pergi melihat keadaan kenderaan tersebut dan barang kes yang dijumpai di dalam salah satu zip beg hitam dalam bonet kenderaan.

Wan Ibrahim berkata dia melihat satu objek menyerupai sepucuk pistol berwarna berkilat krom dan berhulu seperti corak kayu berada di dalam satu sarung.

Sharifah Faraha diwakili peguam Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim dalam perbicaraan tersebut.

Pada 8 April 2024 Sharifah Faraha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing Kuala Selangor pada 8 malam 29 Mac 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

Pada 5 Jun 2025 suami kepada wanita itu Abdul Azim yang berusia 44 tahun dihukum penjara 10 tahun dengan enam sebatan oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Abdul Azim didakwa ada bersama Sharifah Faraha dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sebelum ini seorang lelaki warga Israel Avitan Shalom yang berusia 39 tahun dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 26 Feb selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 200 peluru dan enam senjata api.

Avitan didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang Kuala Lumpur antara 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.

Perbicaraan kes Sharifah Faraha akan bersambung pada 17 Oktober ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *