Malaysia meterai MoU semikonduktor dengan Brazil, runding dengan India

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memeterai memorandum kerjasama dalam bidang semikonduktor dengan Brazil serta menjalankan rundingan dengan India bagi memperkukuh kerjasama teknologi dan industri antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata langkah itu selaras dengan hala tuju kerajaan MADANI dan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara membangun termasuk negara-negara dalam kumpulan BRICS dan benua Afrika.

Beliau menyatakan Perdana Menteri dijadualkan melakukan lawatan rasmi ke benua Afrika pada November ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau tersebut.

“Dalam konteks ini, kita juga mempunyai hubungan baik dengan Bangladesh dan Pakistan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjawab soalan tambahan daripada Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai strategi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mempelbagaikan usaha perdagangan dengan negara-negara BRICS dan benua Afrika.

Beliau menekankan strategi itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung pada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat.

“Kita mungkin perlu terima hakikat bahawa kebergantungan terhadap destinasi eksport kita kepada AS, mungkin satu hari nanti akan berkurangan,” katanya.

Timbalan Menteri itu berkata MITI turut memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan serantau terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor untuk menjamin daya tahan ekonomi jangka panjang.

“Dahulu, ramai yang kata kita bersaing dengan Vietnam atau negara lain tetapi sekarang, kita memastikan ekosistem dan rangkaian bekalan di ASEAN diperkukuh,” jelasnya.

Beliau menambah dalam konteks semikonduktor di bawah kepemimpinan ASEAN, Malaysia mewujudkan satu rangka kerja untuk rantaian bekalan semikonduktor di luar negara ASEAN.

Liew berkata kementerian turut melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan daya tahan dan daya saing ekonomi negara termasuk kepelbagaian rakan dagang dan pelabur melalui perjanjian perdagangan serantau. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *