KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengiktirafan berterusan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global membolehkan pelabur memperoleh kestabilan, kejelasan dan peluang.
Beliau menyatakan kedudukan ini juga mempamerkan nilai asas etika negara dalam sektor kewangan Islam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia telah membangunkan kapasiti kukuh dalam sektor takaful.
Negara turut menerimaguna teknologi kewangan dan platform digital untuk zakat dan wakaf yang menghubungkan tradisi dengan teknologi moden.
“Dunia mencari sistem kewangan yang bukan setakat mampu memberi keuntungan, tetapi juga bermatlamat.”
“Kita harus bekerjasama untuk memperkasa kalangan komuniti dengan memastikan penyelesaian kewangan ini dapat membantu meningkatkan kehidupan kalangan yang memerlukan.”
Beliau menyeru keperluan melonjakkan perniagaan beretika dan bertanggungjawab menerusi kerjasama rentas sempadan.
Inovasi dan kemakmuran bersama merupakan elemen penting dalam memajukan kewangan Islam global.
Ucapan beliau disampaikan semasa merasmikan Forum Kewangan Islam Global 2025 di ibu negara. – Bernama