Lelaki bawa pisau pemotong daging ditahan polis di Bestari Jaya

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki yang mengamuk dan mahu menyerang orang awam dengan membawa sebilah pisau pemotong daging di Taman Jasa Ijok, Bestari Jaya dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 6 petang sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, polis mendapati seorang lelaki sedang mengamuk sambil menjerit dan memegang senjata pisau pemotong daging.

Suspek warga tempatan itu berjaya ditahan tanpa sebarang kecederaan menurut kenyataan Azaharudin hari ini.

Azaharudin berkata suspek direman selama enam hari hingga 18 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman video kira-kira 30 saat di laman sosial memaparkan kejadian beberapa anggota polis dengan bersenjatakan pistol sedang memujuk dan menangkap lelaki berkenaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *