Lebih 90,000 permohonan pembiayaan RM21.5 bilion diluluskan melalui SJKP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90,779 permohonan pembiayaan berjumlah RM21.5 bilion telah diluluskan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu individu dalam kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah setakat ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata daripada jumlah itu, 89.56 peratus terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

Beliau berkata jumlah tersebut melibatkan 15,000 peminjam berumur 18 hingga 25 tahun, kira-kira 31,000 peminjam berumur 26 hingga 30 tahun, 22,356 peminjam berumur 31 hingga 35 tahun dan 12,799 peminjam berumur 36 hingga 40 tahun.

Beliau menyatakan kelulusan tambahan untuk SJKP berjumlah RM20 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan MADANI dalam Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan bagi membantu individu tanpa pendapatan tetap memiliki rumah sendiri pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan SJKP akan diperluaskan dengan menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama.

Anwar berkata had keseluruhan jaminan turut ditingkatkan kepada RM20 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini bagi membantu lebih ramai pekerja gig dan individu bekerja sendiri memiliki rumah.

Aiman Athirah berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

Beliau menyatakan inisiatif tersebut termasuk menyediakan skim sewa beli bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *