KPDN galak syarikat pengangkutan manfaat subsidi petrol RON95

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggalakkan lebih banyak syarikat pengangkutan darat awam dan barangan memanfaatkan kemudahan subsidi petrol di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi melalui platform MySubsidi.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawal Selia Petroleum KPDN Noriqram Mohd Nor berkata inisiatif itu bertujuan memastikan bantuan kerajaan dinikmati secara meluas oleh sektor yang layak.

Beliau menyatakan KPDN telah membangunkan SKPS bagi memastikan pemberian subsidi dilaksanakan secara bersasar dan lebih efisien selaras dengan pengumuman penyasaran subsidi RON95.

Melalui SKPS, kenderaan industri layak menerima subsidi pada harga RM2.05 seliter berbanding RM2.60 seliter yang merupakan harga pasaran semasa.

Kira-kira 100,000 kenderaan dianggarkan layak memohon di bawah SKPS melibatkan sembilan kategori pengangkutan darat awam seperti teksi, bas sekolah dan kereta sewa.

Skim ini juga merangkumi 12 kategori pengangkutan barangan termasuk lori dan van katering makanan, van kargo dan van rigid untuk perkhidmatan bergerak.

Kategori baharu yang layak menerima subsidi RON95 adalah sektor pengangkutan awam air iaitu bot penumpang awam yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia.

Pendaftaran bot juga boleh dibuat melalui Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak bagi memastikan subsidi turut dinikmati pengusaha di kawasan pedalaman dan perairan.

Permohonan telah dibuka sejak 15 September menerusi portal rasmi mysubsidy.kpdn.gov.my.

Noriqram menekankan pemohon perlu memastikan kelulusan tertakluk kepada tempoh sah cukai jalan yang perlu dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan.

Menyentuh mengenai status permohonan, beliau berkata setakat 12 Oktober sebanyak 12,323 syarikat telah mendaftar dan 24,037 kenderaan telah disahkan layak di bawah skim SKPS.

Pelaksanaan SKPS menggunakan kad digital atau fleet card yang dikeluarkan oleh enam syarikat minyak utama iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHP dan Five.

Pendekatan ini memudahkan pemantauan penggunaan dan mengelak ketirisan serta penyeludupan bahan api.

Sistem ini memberi fleksibiliti kepada syarikat pengangkutan memilih sehingga tiga syarikat minyak bergantung pada ketersediaan stesen di kawasan operasi mereka.

Bagi syarikat yang belum memperoleh fleet card ketika penyasaran subsidi bermula, tuntutan bayaran balik boleh dibuat melalui sistem dengan memuat naik resit pembelian petrol.

Resit bertarikh 30 September 2025 hingga 31 Oktober ini perlu dimuat naik untuk pengesahan dan bayaran akan dikreditkan ke akaun syarikat dalam tempoh 15 hari selepas pengesahan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan KPDN di Putrajaya atau pejabat negeri.

Mereka juga boleh hadir ke kaunter pertanyaan sempena Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan dari semasa ke semasa di seluruh negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *